Ahad, 14 April 2013

Persoalan Kehidupan


Sebuah kisah bermula dengan tangisan,
Suatu perjalanan penuh 1001 perasaan,
Suka duka sedih gembira silih berganti,
Putaran roda kehidupan membawa seribu erti.
Menjadi bekal menyusuri ranjau berduri
Sebuah kehidupan yang menjadi lautan inspirasi
Kepada insan-insan yang sabar mengharungi.

Duhai pengembara dunia..
Apakah makna kehidupan bagi mu?
Adakah untuk menjadi seorang ynag tersohor dimana namamu disebut-sebut dan disanjung-sanjung..
Atau menjadi pengemudi yang merentasi lautan kehidupan membawa ribuan pengikut, menuju destinasi yang tak pasti.
Apakah erti kehidupan bagi dirimu wahai insan akhir zaman??
Adakah perjalanan hidupmu bermatlamatkan suatu yang pasti
Atau kalian merentasi sejuta rintangan tapi tidak tahu dimana ia akan berakhir nanti

Wahai penghuni dunia..
Apakah kakimu telah dikau pasakkan dibumi sehingga dikau tidak mampu mendongak ke langit
Atau wajahmu dikau dongakkan kelangit sehinngga dikau tidak nampak apa yang ada dibumi.
Apakah sejarah mereka-mereka yang terdahulu kau hanya jadikan sekadar hiburan dan bukan pengajaran
Adakah perjuangan pahlawan terdahulu dikau hanya jadikan tontonan,
Adakah tangisan air mata mereka dikau tidak hiraukan,

Dimana perjalanan kehidupanmu hendak kau akhiri
Dimana dikau ingin tamatkan sebuah kisah perlayaran di lautan kehidupan
Dimana hendak kau tuju bahtera yang kau kemudi,
Dimana dikau hendak tutupkan kisah perjalananmu.
Hanya dirimu mampu mengubah apa yang kau ingin kecapi.
Wahai pengembara dunia yang sementara.

Selasa, 2 April 2013

Wahai Insan


WAHAI INSAN

Duhai orang-orang yang menjadi tawanan dunia,
Yang dihamba oleh hawa nafsunya,
Yang menjadi sarang dosa dan gudang keburukan.

Wahai orang-orang yang gemar bergelumag dalam kesalahan dan kemaksiatan
Yang senang meninggalkan perintah Ar-Rahman
Yang lebih suka mengikut jalan syaitan yang mematikan

Wahai orang yang pergi tanpa bekal
Wahai orang yang matanya beku dan hatinya batu
Wahai orang yang menangisi dunia tanpa menangisi yang terkemudian.

Wahai insan….
Dapatkah dikau jawab tatkala nanti ditanya apa yang dikau lakukan dengan segala nikmat yang dikau perolehi,
Apa yang dikau lakukan dengan tangan dan kakimu,
Apa yang dikau lakukan dengan akal dan fikiranmu,
Apa yang dikau lakukan dengan harta dan keturunanmu,
Apa yang dikau lakukan dimasa mudamu,
Apa yang dikau lakukan dibumi milik-Nya ini..

Wahai insan..
Pernahkan air matamu dikau titiskan kerana takut pada Ilahi,
Pernahkah air matamu mengalirkan kerana terkenang segala dosa yang dikau pernah kau lakukan,
Pernahkah air matamu menangis tatkala bermunajat pada Yang Esa
Mampukah air matamu yang kau alirkan selama ini menjadi pemadam terhadap api yang kelak membakar tubuhmu itu

Atau..
Air matamu hanya mengalir kerana dunia yang sementara
Air matamu mengalir hanya kerana hartamu yang hilang berterbangan
Air matamu menitis saat kekasih hatimu pergi meninggalkanmu
Air matamu hanya kau titiskan pada suatu yang sementara.
Yang tiada nilainya.

Wahai insan yang lena dibuai mimpi.
Sedarlah dari lena dunia yang sementara,
Bangkitlah mengemudi kehidupanmu kearah Yang Esa,
Langkahkan kakimu ke pintu-pintu taubat yang tidak pernah tertutup,
Angkatlah tanganmu memohon keampunan dari Yang Maha Pengampun.
Alirkanlah air matamu demi menghapus dosa silam.

Wahai insan..
Ingatlah…
Yang hidup pasti akan pergi menghadap-Nya,
Sesungguhnya mati itu pasti datang pada setiap insan,
Pabila tiba saatnya tiada apa yang mampu menghalangnya,
Pabila tiba saatnya tiada apa yang mampu menyelamatkanmu selain iman dan amal.
Bukan hartamu yang menimbun
Bukan pangkat yang dikau sandang
Bukan pengikutmu yang memujamu

Wahai insan..
Aturkan semula perjalananmu
Susun kembali langkahmu yang telah tersasar,
Titipkan rasa cinta pada Yang Maha Pencinta,
Hadirkan rindu bertemu Yang Maha Mendengar,
Yang Maha Melihat,
Yang Maha  Mengetahui,
Agar kau tidak lagi leka dan lupa
Yang sesungguhnya kau adalah Insan Milik-Nya.

Insan milik-Nya