Selasa, 2 April 2013

Wahai Insan


WAHAI INSAN

Duhai orang-orang yang menjadi tawanan dunia,
Yang dihamba oleh hawa nafsunya,
Yang menjadi sarang dosa dan gudang keburukan.

Wahai orang-orang yang gemar bergelumag dalam kesalahan dan kemaksiatan
Yang senang meninggalkan perintah Ar-Rahman
Yang lebih suka mengikut jalan syaitan yang mematikan

Wahai orang yang pergi tanpa bekal
Wahai orang yang matanya beku dan hatinya batu
Wahai orang yang menangisi dunia tanpa menangisi yang terkemudian.

Wahai insan….
Dapatkah dikau jawab tatkala nanti ditanya apa yang dikau lakukan dengan segala nikmat yang dikau perolehi,
Apa yang dikau lakukan dengan tangan dan kakimu,
Apa yang dikau lakukan dengan akal dan fikiranmu,
Apa yang dikau lakukan dengan harta dan keturunanmu,
Apa yang dikau lakukan dimasa mudamu,
Apa yang dikau lakukan dibumi milik-Nya ini..

Wahai insan..
Pernahkan air matamu dikau titiskan kerana takut pada Ilahi,
Pernahkah air matamu mengalirkan kerana terkenang segala dosa yang dikau pernah kau lakukan,
Pernahkah air matamu menangis tatkala bermunajat pada Yang Esa
Mampukah air matamu yang kau alirkan selama ini menjadi pemadam terhadap api yang kelak membakar tubuhmu itu

Atau..
Air matamu hanya mengalir kerana dunia yang sementara
Air matamu mengalir hanya kerana hartamu yang hilang berterbangan
Air matamu menitis saat kekasih hatimu pergi meninggalkanmu
Air matamu hanya kau titiskan pada suatu yang sementara.
Yang tiada nilainya.

Wahai insan yang lena dibuai mimpi.
Sedarlah dari lena dunia yang sementara,
Bangkitlah mengemudi kehidupanmu kearah Yang Esa,
Langkahkan kakimu ke pintu-pintu taubat yang tidak pernah tertutup,
Angkatlah tanganmu memohon keampunan dari Yang Maha Pengampun.
Alirkanlah air matamu demi menghapus dosa silam.

Wahai insan..
Ingatlah…
Yang hidup pasti akan pergi menghadap-Nya,
Sesungguhnya mati itu pasti datang pada setiap insan,
Pabila tiba saatnya tiada apa yang mampu menghalangnya,
Pabila tiba saatnya tiada apa yang mampu menyelamatkanmu selain iman dan amal.
Bukan hartamu yang menimbun
Bukan pangkat yang dikau sandang
Bukan pengikutmu yang memujamu

Wahai insan..
Aturkan semula perjalananmu
Susun kembali langkahmu yang telah tersasar,
Titipkan rasa cinta pada Yang Maha Pencinta,
Hadirkan rindu bertemu Yang Maha Mendengar,
Yang Maha Melihat,
Yang Maha  Mengetahui,
Agar kau tidak lagi leka dan lupa
Yang sesungguhnya kau adalah Insan Milik-Nya.

Insan milik-Nya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan